Showing posts with label melihat temasya. Show all posts
Showing posts with label melihat temasya. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Melihat temasya di tempat orang- Rampasan hotel di PD bersenjatakan Marker paintball


Bertemu lagi kita dalam kolum Melihat temasya.. Kali ini penconteng berpeluang mengikuti sekumpulan pemain paintball untuk bermain paintball di port Dickson.. wuhuuuu~!!! Memang dari dulu teringin untuk bermain paintball, baru kini dapat merasai dan memahami apa yang mereka gilakan terhadap aktiviti sukan ini sehingga ada yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan kelengkapan yang paling sesuai dengan diri mereka..

Penconteng yang merupakan pendatang (rasa sekali je kot) baru dalam dunia paintball ini dengan merendah diri mengaku tidak pandai dan akan menulis mengenai aktiviti ini untuk mereka yang tidak pernah merasai bermain paintball.. Jika ada salah dan silap, peduli apa sama korang~.. hahahhaha come on ~!! Ini blog conteng2 la, nak info gi library!! =) Penconteng memutuskan untuk menulis pada kali ini mengenai suasana dan keadaan yang penconteng rasai ketika bermain dan tidak akan menulis tentang keputusan perlawanan serta beberapa masalah yang terjadi (saya berkecuali). Peraturan, harga bayaran, tarikh aktiviti woodsball yang seterusnya eloklah ditanya kepada mereka yang lebih mahir.. (NI FIRST TIME AKU LER. MANA AKU TAU KALAU KORANG TANYA PUN)

Ketika menunggu hujan berhenti di sebuah kedai tomyam pada awal pagi khamis yang lepas, tempias hujan menampar-nampar pipi kami sambil suasana melihat khemah murah roboh akibat tidak dapat menahan tadahan air hujan yang terlampau cepat memenuhi bumbung khemah membuatkan petah mulut rakan-rakan futsal berbual dari satu bab hingga ke satu bab untuk menghilangkan kejanggalan suasana.. hinggalah ke tahap~
“kau nak ikut kitorang gi paintball tak?”.. penconteng tersenyum…. Dan seterusnya menjadi sejarah.

 
Kesan lebam… tiada gajet.. tiada geng nak bawak.. modal besar.. takut salah pakai… bermacam-macam lagi halangan penconteng rasakan setiap kali hati teringin besar untuk bermain paintball.. Dan penconteng dengan berani meletakkan reputasi (sebagai seorang yang tidak minat menghakimi orang lain) diatas garisan dengan mengatakan, alasan diatas tadi jugalah yang ramai belia gunakan setiap kali lutut menggigil (kerana terlampau teruja untuk mencuba) melihat permainan paintball ditayangkan di media massa . Setelah mencubanya sekali, antara saat-saat paling indah ku nikmati . Jujur.

Lokasi – Bangkok haunted hotel , Port Dickson.
Tarikh – 5.3.2011
Aktiviti – Paintball (woodsball), bersituasi merampas bendera..


sebelum pertempuran
Terus kepada aktiviti…. Haha (terima kasih email, ya saya sedar bukan semua orang suka baca panjang bejela-jela.. harap maaf kepada pembaca yang terasa terseksa membaca bebelan terlampau panjang) ..
Pertama sekali, kepada yang tidak pernah sekalipun merasai bermain paintball. Terdapat 2 cabang paintball yang anda kena pahami, yang pertama ialah speedball ( ada kubu belon warna warni) yang dimainkan dalam gelanggang dan kedua ialah woodsball yang dimainkan dalam keadaan alam sekitar. Aktiviti yang penconteng ikuti pada kali ini ialah woodsball..

Pemeriksaan peralatan
Sampai sahaja ditempat perkumpulan, penconteng berdebar-debar hati melihat bangunan yang telah dikuasai alam.. dan dihadapan nya pula ada hutan sekunder, semak samun dan pokok yang tumbuh meliar setelah kawasan lapang itu ditinggalkan berpuluh tahun.. disebalik semak samun itu terdapat pantai yang luas dan bot-bot nelayan dan jetski berhimpun dengan rawak..





  Peperangan kali ini ialah diantara skuad Malayan Troopers yang akan bertempur dengan skuad Malcon. Penconteng meletakkan diri sebagai askar upahan, kerana penconteng pada hari ini berdiri di bawah payung skuad Panggilan Pertiwi. Oleh kerana Panggilan pertiwi hanya berlima, kami akan bertempur bersama Malayan troopers.


abang-abang Mtroopers
abang-abang Malcon

Situasi pertama (S1)- kedua-dua pihak berada di pintu hujung bangunan, satu pihak di bahagian hujung wing kiri dan satu di hujung wing kanan. Bendera di tengah-tengah bangunan ditingkat 3. Kumpulan yang pertama berjaya mendapatkan bendera dikira pemenang pusingan tersebut. Terdapat 2 pusingan, mereka akan bertukar wing pada setiap pusingan.

rampasan bangunan
*pada pusingan pertama (s1), arahan tidak jelas daripada marshall dan komunikasi taktikal yang sedikit bercelaru membuatkan penconteng terpinga-pinga. Ditambah pula dengan tugasan menceroboh tingkat 2 dan merampas satu kawasan sebagai tapak untuk dijadikan kubu, deruan adrenalin membuatkan semangat membunuh naik ke tekak. Tembakan demi tembakan dilakukan oleh ahli pasukan yang lain untuk memberikan sedikit masa untuk kami meluru ke tangga.. Penconteng Berjaya sampai ke tingkat 2, peperangan merebut kawasan ini lagi ganas dari tingkat bawah.. Dalam usaha mengekalkan tapak ini, tiba-tiba penconteng ditembak didada.. perasaan seperti mengecewakan rakan sepasukan kerana terlampau awal tumbang di medan perang.. Dengan mengangkat tangan dan senapang diatas kepala sebagai tanda sudah terkeluar dari permainan, ketika menuruni tangga penconteng ditembak beberapa kali lagi (teperangkap dalam crossfire).. cet, sudah mati ditembak lagi. Haha =)

siap sedia bertempur
*pusingan kedua (s1) , sudah semakin biasa dengan corak tembakan senapang ( istilah sebenar ialah Marker) yang disewa penconteng. Perbincangan taktikal yang lebih serius sebelum perlawanan membuatkan pusingan kali ini sangat teratur.. Ditugaskan untuk merampas tapak dan meramaikan infantri di tingkat paling atas dimana terletaknya bendera.. Bunyi tembakan dimana-mana, terlampau bising.. Ada yang meniarap, ada yang membuat larian zig-zag untuk bergerak kekawasan bendera. Kumpulan musuh tidak berhenti melepaskan tembakan walaupun ketika kami membuat cover up shooting.. PRITTT~! Game over.. penconteng selamat sehingga permainan tamat..

Situasi Kedua (s2) – Satu kumpulan bertahan didalam bangunan. Satu lagi akan cuba menyerang dari hutan sekunder berhadapan dengan bangunan. Diantara bangunan dan hutan terdapat satu jalan. Penyerang dikehendaki menceroboh bangunan dan mendapatkan bendera di tingkat 2.

hutan yang dimaksudkan
 *pusingan pertama (s2), bertindak sebagai penyerang.. penconteng sekadar bergerak perlahan dicelah-celah runtuhan bangunan dan pokok-pokok besar. Mengikuti sahaja gerakan ahli pasukan yang lain, dengan senyap.. ketika ini baru memahami kelebihan memakai sut celoreng askar penuh, tiba-tiba rakan hilang dari pandangan mata. Rupanya dia berdiri 5 kaki dihadapan penconteng, hanya berdiri diam dan sebati dengan alam. Macam cicak kobing boleh hilang-hilang..Di sebalik runtuhan bangunan dan pokok-pokok, penconteng menunggu masa membuat larian serbuan. Hanya menanti arahan.. Setelah keadaan tenang, penconteng baru mahu berlari melintas jalan dihalang dengan tembakan bertubi-tubi penembak tepat dari tingkat 3.. Mujur tersasar beberapa inci dari badan.. Jalan pemisah sunyi sebentar.. kedua-dua pihak menjimatkan peluru.. sesekali terdengar bunyi penembak tepat menakut-nakutkan penyerang dengan menembak betul-betul dihujung dinding runtuhan bangunan tempat kami berlindung, seakan memberitahu jika anda keluar anda ditembak.. Pritt~!!! Game over.. penyerang gagal menceroboh bangunan..


Lakonan semula, sniper tingkat 3.
*pusingan kedua (s2), bertindak sebagai bertahan di bangunan. Penconteng yang menggunakan senapang sewa tidak mampu membuat tembakan tepat dan jarak jauh.. Jadi ditugaskan sebagai stopper ditingkat bawah.. Misinya menembak apa sahaja yang melintas atau bergerak dihadapan tempat berkawal.. Pusingan ini sangat mendebarkan. Tempat berlindung penconteng hanya sisa dinding bersaiz kerusi maplay. Jika tidak meniarap, penconteng terpaksa mencangkung sepanjang pusingan.. Setiap kali mengangkat kepala, tembakan berbunyi dan terdapat beberapa tompokan cat oren didinding sehasta dari kepala penconteng.. Beberapa percubaan penyerang untuk melintas jalan dapat dipatahkan, sehinggalah akhirnya terdapat 4 penyerang berjaya memasuki bangunan.. Namun stopper yang berkawal di kawasan yang dicerobohi sempat meminta bantuan sebelum beliau ditembak.. Keadaan menjadi gila, tembakan dari kawasan hutan penyerang datang bertubi-tubi untuk mengalihkan perhatian pertahanan dari mengetahui situasi sebenar yang bangunan telah dicerobohi.. Tembak menembak menjadi ganas sehingga kawasan bekalan makanan bantuan diletakkan (ratio) turut terkena peluru bebola cat dan beberapa medic berkecuali jugak ditembak.. Penceroboh dapat dikalahkan oleh pengawal bangunan yang lain (penyerang tidak dapat bantuan infantri dari ahli pasukannya yang lain kerana tembakan bertubi-tubi oleh penembak tepat ditingkat atas) prittT~!!! Game over…

Situasi Ketiga (s3) = Satu kumpulan berada di hujung wing kanan dan satu lagi di hujung wing kiri.. Kedua-dua kumpulan mempunyai satu bendera untuk dijaga di tingkat 3 wing masing-masing.. Pasukan yang paling awal merampas bendera di kubu musuh dianggap pemenang.


mempertahankan base
en.nikman melakonkan semula, situasi tersekat di tangga.
*pusingan pertama (s3)= Pasukan berkurangan kerana ramai yang cedera dan ada yang sudah keletihan, ditambah pula cuaca panas terik ditepi pantai membuatkan beberapa pemain mulai pening.. Tugas penconteng ialah ke tingkat 3 untuk mengawal bendera, tetapi telah tersekat dalam pertempuran di tingkat 2 terlalu lama. Apabila sampai ke tangga untuk ke tingkat paling atas, rupanya beberapa ahli pasukan sudah pun di halang untuk ke tingkat 3 oleh peluru dari wing kubu musuh.. tembak menembak semakin menggila kerana masing-masing mula mahu menghabiskan peluru. Sehinggalah tamat permainan, bunyi tembakan kedengaran di seluruh bangunan..

*pusingan seterusnya dibatalkan kerana 65 % dari pemain sudahpun bersetuju untuk menghentikan permainan. Penconteng secara jujur ingin meneruskan permainan, kerana ini kali pertama bermain. Jadi setiap pusingan penconteng akan dapat mempelajari teknik baru dan dapat melihat situasi membuat keputusan dalam keadaan berbeza.. Benar kata orang bijak pandai, wujud kali pertama untuk kita mencari yang kedua.. Tidak mungkin mengetahui segalanya dengan hanya sekali bermain..


bergaya bukan? hahaha
Hari yang akan dikenang penconteng sampai bila-bila.. Percubaan pertama bermain paintball telah dibawa menyertai pemain-pemain senior dan bermain di kawasan expert. Bersyukur tiada berlaku kemalangan. Jika bermain pc game counter-strike membuatkan anda membaling mouse jika ditembak, cubalah permainan ini.. =) Sangat-sangat memuaskan hati jika anda meminati permainan bermotifkan perang.
Penat dan sakit boleh beransur reda, pengalaman mengorbankan diri untuk pasukan terpahat di jiwa rakan sepasukan hingga ke akhir hayat (hehe.. tokok tambah sikit).. Mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat hari tentera darat kepada semua wira kita yang mengorbankan segalanya untuk rakyat jelata meneruskan hidup dengan aman. Terima kasih. Salute!!!!





Penghargaan;

Ribuan terima kasih kepada;

Panggillan Pertiwi (khususnya, militan klang) kerana menjemput penconteng mengikuti aktiviti mereka.

Malayan Troopers dan Malcon , menunjukkan semangat perlawanan yang hebat.

Marshalls dan penyedia catering.

Semua yang terlibat dan yang mengajar penconteng tentang permainan ini.

Tamat sudah.

Wednesday, February 9, 2011

melihat temasya di tempat orang : part2 Klang-Rantau Panjang-Klang

SAMBUNGAN,
coli longgok. =)
alih bahasa
 Kami berpusing-pusing di kawasan tumpuan pengunjung lebih kurang sejam, sekadar untuk memerhatikan barang-barang yang menarik dan boleh dibuat cenderahati kepada orang yang tersayang. Disebalik cermin mata yang gelap, anak mata ligat mencuci mata. Antara barang-barang yang biasa pengunjung cari bila sampai disini ialah toto (comforter blanket), seluar jeans, kasut siam dan paling utama ialah membeli sehelai jersi buatan Thailand.


tak sampai seminggu sign kontrak,
kata penjual belum sign lagi diorang dah cop..

  Memang ada jersi yang dijual dengan harga yang sangat murah, sehingga ke tahap rm8. Tetapi penconteng tidak menggalakkan pembaca membeli jersi yang gred rendah jika sampai kesini. Jersi gred rendah jika di lembah klang boleh didapati dengan harga rm15-25. Baik beli yang gred sederhana dengan harga rm30 – rm40 disini, kerana harganya mungkin naik hingga rm70 jika di lembah klang nanti.
  Jika anda tidak reti membezakan gred , sila pegang kain nya dan lihat sekeliling. Sentiasa cari kedai menjual jersi yang dipenuhi pelanggan, kerana itu menandakan mereka bukan sahaja menjual barang berkualiti tetapi memberikan layanan yang baik. Jangan marah jika terdapat kecacatan di jersi yang dibeli, anda telah mengambil risiko membeli barang tiruan jadi terimalah akibatnya. =)


Jeans... cari jeans.. mana kau jeans..
Siap dapat pau freegift lagi.. memang best lar makcik ni.
   Kecek… kecek… kecek… penconteng tidak banyak mengacau para peniaga dengan gurauan dan usik-usik disebabkan tidak mampu bercakap menggunakan dialek tempatan. Memang mereka boleh memahami gaya kita, tetapi kemesraan itu seperti terbatas.  Jika anda mampu kecek kelate, gunakan nya untuk tawar menawar. Penconteng seorang peniaga, dan penconteng paham mengapa mereka boleh memberikan harga yang lebih murah kepada mereka yang boleh kecek kelate. Jika peniaga itu memberikan anda harga yang murah dan ada pengunjung yang lain terdengar maka semua akan meminta harga yang sama, jadi jika anda bercakap menggunakan bahasa mereka peratusan pengunjung yang memahami tawar-menawar anda akan kurang ke 35%. Orang lembah klang sedikit kurang ajar dalam tawar menawar, kerana kebanyakan mereka pikir mereka lebih baik dari masyarakat hujung peta seperti ini.   Rendahkan suara anda dan cuba berdialek sini, tunjukkan kita ikhlas ingin memahami gaya mereka.  Tidak dapat turun rm10, dapat kurang rm1 pun duit jugak.. hehe
Hanya mampu berharap sampai kepada yang memerlukan.
  Jaga-jaga penyeluk saku. Ini amaran bukan untuk disini sahaja, tetapi kemana sahaja tempat yang anda pergi. Jika ada orang meminta derma dan anda agak curiga dengan perwatakannya, sila pastikan anda bersama seseorang barulah mengeluarkan dompet.  Bukannya kita berburuk sangka, tetapi jika lesen dan i.c anda dilarikan dinegeri orang lain. Sangat masalah. Jadi berhati-hati ialah sebahagian daripada usaha untuk mengelakkan lebih banyak masalah. ilmu kita tak penuh didada, kalau tak kena pukau kena ragut pun leceh gak..
Kepuasan.. kepuasan..kepuasan..

Sudah pun petang.. Keletihan mulai dirasai dan banyak sudah barang yang kami beli. Macam-macam perangai dan gaya tawar-menawar sudah kami lihat. Seperti menonton drama, tidak semuanya berakhir dengan kegembiraan. Penconteng tidak menjumpai barang-barang yang membuatkan hati teruja, sudah sampai disini belilah sehelai jersi dan satu comforter untuk diletakkan dirumah ibunda penconteng.

Seluas mata memandang
tahan ngantuk
    Kami melalui grik semula untuk kembali ke klang, penconteng tidur sepanjang perjalanan pulang hingga mereka sampai kembali ke tempat rehat Titiwangsa (kawasan kami tidur pagi tadi). Mood dikejutkan dari bangun tidur sangat teruk, terasa seperti ingin melempang sesiapa yang lalu didepan mata. Setelah turun dari kereta, melihat keindahan hijau hutan banjaran melembutkan semula perasaan marah tadi. Alam mempunyai cara sendiri dalam mengubat segala permasalahan, terasa begitu damai berada disini. Suhu tidak sesejuk 5 pagi tadi, tapi cukup membuatkan sesetengah pengunjung memakai sweater .

 3 dari kami memutuskan untuk mandi di tandas awam yang disediakan. Tandas awam disini mengenakan cas 30sen untuk menggunakan tandas dan 50sen untuk mandi. Rata-rata pembaca diluar sana tidak pernah merasai mandi di tempat rehat kerana mengganggap perbuatan tersebut layak untuk pemandu lori sahaja. Penconteng menganggap pemandu lori manusia yang sanggup berkorban untuk memastikan seluruh rakyat dapat meneruskan gaya hidup mereka. Tabik untuk mereka, mandi dikawasan sebegini tidak seselesa mandi di rumah. Anda bayangkan apa yang perlu mereka lalui sepanjang karier mereka dan kita tidak pernah berterima kasih walau sekalipun kepada mereka yang berusaha memastikan keperluan kita sampai ke pasar dan pasaraya berdekatan dengan rumah kita.
  Pagi tadi kawasan ini gelap gelita, kami berehat disini untuk beberapa ketika untuk melihat suasana merasai kedamaian alam. Baru balik dari kawasan yang hiruk-pikuk dengan gelagat manusia di pasar rantau panjang, berehat disini seperti memberi  tenaga semula kepada kami untuk meneruskan perjalanan pulang ke klang. Badan menjadi lebih segar selepas mandi dan kami meneruskan perjalanan untuk singgah di pulau tasik banding dalam perjalanan pulang nanti.
   Hentian terakhir kami sebelum meneruskan perjalanan kembali ke klang ialah sebuah tasik indah ditepi jalan utama. Sebelum turun kereta, penconteng memberitahu pemandu yang penconteng mula merasai mabuk kereta akibat jalan yang berbelok-belok ketika menuruni banjaran tadi. Langkahan kaki pertama yang turun dari kereta  membuatkan penconteng terpijak muntah orang yang parking disitu sebelum kami. Sabar. Walaupun digelakkan bertubi-tubi oleh rakan-rakan. Sekurang-kurangnya penconteng tidak termuntah sekali akibat mabuk tadi.
  Tasik Banding (serius gua lupa nama tasik ni, bantai je) ialah sebuah tasik yang tenang dan mendamaikan. Tidak banyak pemancing dan tidak banyak bot-bot pemancing disini. Mungkin kerana ia terletak agak jauh dengan kawasan perumahan. Angin disini sangat perlahan tetapi dengan kekerapan yang agak tinggi. Sungguh menenangkan jiwa, penconteng dan rakan-rakan yang sedang stim penat dan mengantuk seperti melayani saat-saat romantis ini. Kami pada mulanya ingin mengupah seorang pemandu bot untuk membawa kami pusing tasik, tetapi kerana takut mabuk kereta dan kepenatan kami yang sudah ke tahap yang amat tidak terkawal ini akan membuatkan kami keletihan dan tidak mampu meneruskan perjalanan pulang.

  Dari perbualan dengan peniaga disini, kawasan ini kurang mendapat kunjungan pemandu yang melalui jalan grik . Penconteng beranggapan  mereka terasa ingin singgah kerana terpesona melihat pemandangan dari jalanraya, cuma mereka tidak tahu terdapat tempat melepak disini. Kepada pembaca yang membaca ruangan ini, singgahlah sebentar rehat  disini jika anda melalui jalan grik ke kelantan kerana suasana tenang petang disini akan membuatkan anda kembali bertenanga untuk memandu.
  Hari semakin gelap dan kami meneruskan perjalanan kembali ke klang..  Perjalanan 27 jam pergi dan balik semula banyak mengerah tenaga. Walaupun penconteng tidak memandu, keletihan dan mengantuk banyak memberi idea untuk mengarut. Langsung tidak membuat note sepanjang perjalanan, ketika post ini ditulis penconteng sekadar melihat gambar-gambar dan semua perasaan ketika kejadian datang dengan sendiri.

  Pergilah melihat suasana ditempat orang.. Ziarah lah daerah ke daerah, belia kini semakin ramai ke tahap mencari keseronokan daripada parti dan hiburan tanpa henti (penconteng pun ada join jugak). Kami berempat pilih untuk mencari keseronokan dari melihat temasya di tempat orang lain, dan cuba memahami gaya hidup mereka. Tidak banyak tempat penconteng lawati, tapi apa yang penconteng pelajari di tempat orang itulah yang membuatkan diri ini lebih matang dari hari ke hari.
  Sehingga berjumpa lagi di kolum melihat temasya dengan aktiviti yang lain pula.. Assalamualaikum~! Gomo kelate gomo.. ooppss sorry.. Gergasi merah dihati~!
-tiba di klang pada pukul 12 mlm.. 27jam berkelana, 4 kepala, 1 persona ( nama kereta la)… Sampai saja dirumah, tidak mampu tidur sehinga 5 pagi.. nak sms ke taknak no. awek siam tadi.. haih~!! Abaikanlah.. setahun lagi bersendiri..

Tuesday, February 8, 2011

melihat temasya di tempat orang = Klang-Rantau Panjang-Klang

   Pernah seorang sahabat berkata “Pergilah ke rantau, pasti ada sesuatu yang mencucuk hati”. Sudah lama tidak merasai perasaan seperti itu. Melihat sesuatu dan terasa seperti menggigil lutut untuk memilikinya. Dulu penconteng di brainwashed oleh media untuk beli, beli, beli dan beli.. Tapi setelah muncul media baru dan rajin membaca tentang seni hitam pengiklanan, sudah lama tidak merasa perasaan seperti ingin memiliki sesuatu hanya kerana ingin memiliki bukan kerana memerlukannya. Kesan sampingan dari pulih dari ketagihan membeli ialah putus minat untuk berjalan dan melihat barang.
  Salah seorang sahabat penconteng yang pernah sebelum ini muncul dalam kolum ini dalam tajuk “serendah waterfall” yang bernama en. Asrul menyatakan hasratnya untuk ke kota bahru atas urusan pelaburan dalam sebuah syarikat perternakan aqua kultur .  Berempat dalam satu kereta, kami keluar dari Selangor dan meneruskan perjalanan ke Kota Bahru dan akan singgah di Rantau Panjang dalam perjalanan pulang nanti. Kalau pun nanti tidak dapat membeli sesuatu untuk hati, apalah salahnya jika melihat gadis-gadis Thailand untuk penyejuk hati.  ehehehe =)
  Tarikh = 2 febuari 2011
 Aktiviti = ke Rantau panjang dan kembali ke klang.
    Setelah memandu beberapa jam menghala ke utara, kami berhenti di hentian R&R Tapah (menghala ke utara) untuk mengisi perut dan menenangkan pikiran setelah kebosanan duduk didalam kereta. Jam menunjukkan pukul 11 malam. R&R ini penuh sesak dengan kelibat manusia yang berhenti rehat, mungkin mereka mengambil peluang cuti ini untuk pulang ke kampung halaman.
  Jalan Grik yang menghubungkan utara ke timur pada pukul 2 pagi agak menyeramkan. Walaupun kurang pemandu-pemandu yang menggunakan prinsip outlaw ditengah hutan ini seperti waktu siang, kegelapan malam sangat mendebarkan. Kami berharap supaya tidak  berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, tetapi hati belia mana yang tidak teringin juga untuk melihat gajah liar berehat di tepi jalan atau melihat harimau menyusuri jalan. Hehe =)  Seekor monyet pun tidak kelihatan di sepanjang perjalanan, ini kan pula gajah liar.
  4 pagi : Sampai ke hentian titiwangsa di puncak jalan grik. Tandas dan kedai makan disini sudahpun memadamkan lampu sebagai tanda operasi mereka berhenti setakat ini. Malah tiada satu pun lampu jalan yang menyala. Gelap gelita. Terdapat lebih kurang 3 bas dan 15 biji kereta yang berehat diatas ini.  Kami mengambil keputusan untuk tidur disini sehingga matahari mula naik sebelum meneruskan perjalanan turun dari tempat ini. Tidur didalam kereta berempat tidaklah semudah yang anda bayangkan. Suhu diluar kereta tersangat sejuk (lagi sejuk dari genting highland), jadi kami hanya boleh membuka sedikit saja tingkap kereta sekadar memberi udara masuk. Kadang-kadang terdapat bau-bau yang tidak disenangi, dan adakalanya tercium bauan yang tersangat wangi.  Kami diatas banjaran dan didalam hutan, buat-buat tak perasan sahaja jika ada perkara pelik yang datang.
  Sudah lebih kurang sejam rakan-rakan penconteng  tidur di dalam kereta. Penconteng tidak dapat melelapkan mata.  keluar sekejap untuk menghisap sebatang rokok. Pada ketika nyalaan api rokok, terasa seperti suhu sebegini tidak memberi masalah sangat kepada penconteng (dulu di baskin robbins ada peti ais besar selalu mengular dalam tu). Selepas beberapa sedutan, angin kuat bertiup membawa kabus lembab melanggar kawasan istirehat itu. Tangan penconteng tiba-tiba menggigil. Lutut mula menggeletar tidak terkawal. Sejuknya mencucuk tulang. Tidak sampai  setengah batang, rokok dibuang dan penconteng masuk ke dalam kereta. Lebih banyak berusaha mengawal gerakan tangan untuk menyua rokok ke bibir daripada menikmati kedamaian malam. Masuk kedalam kereta, masih tidak boleh melelapkan mata. Ada yang berdengkur dan ada pula yang sipi-sipi membuang angin ketika tidur. Penconteng bukannya memilih tempat tidur, Cuma memang pada waktu ini tiada perasaan untuk tidur langsung. Mungkin atas pengaruh 2 cawan white coffee di tapah malam tadi.
6.40 pagi : “dah, bangun semua!.. dah boleh gerak dah wei” penconteng mengejut kawan-kawan bukan kerana sudah terlewat dari jadual perjalanan tetapi kerana tidak lagi sanggup menahan kebosanan. Ada beberapa kereta yang membunyikan hon ketika meninggalkan kawasan itu. Mungkin itu sebagai tanda sudah selamat untuk meneruskan perjalanan turun.  
camera whoring.. kalau terpaksa, buat dengan penuh kepoyoan
7.00 pagi :   Eh.. Kamera phone en. Asrul gambarnya clear.. Kalau tahu, dari semalam dah tangkap gambar. Takderlah korang kena baca novel macam kat atas tadi.. hehehe =)

Jarak penglihatan terbatas

     Kabus pagi membuatkan pergerakan turun sangat perlahan. Kesejukan masih terasa walaupun matahari semakin tinggi. Gajet GPS sangat membantu dalam meramal bentuk jalan sebelum pemandu terpikir untuk memotong atau membuat pecutan. Cermin berkabus tidak sangat menganggu , tetapi kabus berat diluar membuatkan penconteng berangan-angan seperti didalam kapal terbang yang membelah awan untuk ke destinasi. Kesan sampingan daripada kurang tidur, daya pemikiran jatuh ke tahap "malas lar nak berpikir".
   Melalui jeli, ketereh dan daerah-daerah disini sangat mendamaikan. Terasa kedamaian kehidupan pekan kecil. Kami mendengar lagu-lagu dikir di stesyen radio Kelantan.fm. Salah satu cara kami memahami budaya setempat.  Tengah sedap melayan lagu-lagu yang menjadi pilihan orang disini, salah seorang dari kami menjerit kerana tidak sanggup lagi menerima lagu-lagu yang disiarkan. Lagu dikir yang mempromosikan produk jualan langsung dengan sedikit sentuhan dangdut  seperti mencabar kesabaran beliau (lagu penuh ya. Bukan jingle iklan radio biasa).. =)
"aku pecahkan jugak radio ni karang, tukar era skrg!"
8.30 pg : Sampai ke sebuah syarikat aqua kultur tempatan yang pakar dalam hal ehwal  perternakan  ikan air tawar.  Mata kami mulai terasa berat kerana kepenatan dan kurang tidur. Ya!! Kami belum mandi.. Itulah salah satu kelebihan keluar bersama rakan sebaya tanpa membawa rakan perempuan, bujang sepanjang perjalanan.  Haha =) huarghh~~~ (ngantuk menunggu  en. Asrul diluar pejabat)  lantaklah pak guard tak nak layan kitorang.. kitorang buat tour sendiri kat tempat ni.. 

  Belajarlah sedikit sebanyak dialek kelantan, ianya sangat membantu anda dalam cubaan merapatkan hubungan dengan penduduk setempat. Penconteng dan rakan-rakan sudah biasa kemana-mana dengan cara membawa diri sebagai penumpang di tanah orang dan bukan sebagai pelancong. Hanya seorang sahaja daripada kami yang mampu kecek (cakap) kelate, jadi terasa seperti tidak mampu menyesuaikan diri dengan perbualan orang sini. Baru kelantan, bagaimana pula edisi melihat temasya di luar negara suatu hari nanti, aduh lemah lah kalau kena jadi pelancong.. =)



Lanskap dalam bangunan yang agak menarik.
 
Akhirnya segala urusan en. Asrul disini telah selesai.. Puas kami berpusing-pusing dikawasan ini. Banyak yang boleh dipelajari dari melawat tempat sebegini dan layanan makcik-makcik di cafe sangat mesra. Apa yang kami belajar? tak ingat apa-apa.. Semuanya menahan kepenatan. ohh yer..yang lekat dikepala ialah, kuih sarapan disini sangat manis. =) agak menarik, tapi kami tak biasa dengan kuih tempatan. Ke RanTau panjang!!!!....



11.00 tghr : Kesesakan lalu lintas dihadapan kompleks imigrasin rantau pajang. Secara jujurnya,  ketika ini penconteng  sudah keletihan dan ingin mencari tidur. Awek Thailand ke awek kelate.. Aku dah ngantuk.. Mood untuk mengacau peniaga sudah hilang.. Tetapi sudah berada hampir sangat dengan destinasi, kuatkan semangat dan kunyah chewing gum untuk melewatkan masa koyak (badan seperti autopilot, bergerak tanpa pikiran waras dan kawalan perasaan. Dibawah pengaruh mengantuk yang amat sangat).
no. plat motor siam sudah mula kelihatan
 Cuti tahun baru cina membuatkan tempat ini sesak dengan kereta-kereta bernombor pendaftaran selangor dan kuala lumpur. Jadi kesimpulan mudah yang kami boleh buat, harga yang akan kami temui nanti pasti tidak semurah hari biasa. Hehe.
baik punya cilok!  
 Tiada seorang pun antara kami mengingati atau cuba memperingatkan yang lain untuk membawa passport. Sudah ke sempadan, alangkah baiknya kalau singgah berurut di golok. Perasaan keluar merayau tanpa perancangan awal memang seronok. Namun perasaan sakit hati tertinggal barang-barang penting mestilah disimpan didalam hati sahaja. Ini kerana dengan mengeluarkan ketidakpuashatian anda akan menjatuhkan semangat anda dan rakan-rakan.  


KAMI NAK PARKING!!! SILA BERI KAMI PELUANG UNTUK PARKING
 Kami melalui pemeriksaan dengan pantas. Mungkin kerana terdapat pelekat staff kerajaan di cermin kereta atau kerana memang muka kami nampak sangat seperti pelancong dari selangor. Apa yang kami boleh seludup pun, minyak dan gula kat klang pun kurang bekalan. Kalau ada pun baik pakai sendiri. =) Memasuki bandar rantau panjang seperti melalui sebuah pasar. Dimana sahaja anda toleh akan nampak manusia membeli belah. Niat hati nak mencuci mata agak kecundang apabila melihat rata-rata anak perempuan muda disini bertudung labuh. uhuk uhuk bagus! teruskan..=)

adalah muka siam sikit en asrul ni.
Gerai pertama yang kami lawati ialah gerai menjual cermin mata tiruan. Beratus-ratus jenis dan bentuk terdapat disini. Ramai pembaca lelaki diluar sana pernah ditegur sebagai mat stim kerana mata lebam dan merah kerana tidak tidur seharian dan badan lembik kerana belum dibasahi air. Jadi anda pasti paham mengapa kami membeli cermin mata disini walaupun kat klang pun banyak. Murah! sangat murah. jika design gred baik di port klang rm30, disini baru rm10.


 Berbagai-bagai barangan yang boleh ditemui disini. Dalam berjuta barang bebas cukai disini, tiada satupun yang menggamit hati penconteng. Setelah sampai di klang barulah beberapa ahli keluarga terdekat memberitahu antara spot-spot yang tidak kami lawati disini. Malahan ada yang mencadangkan tempat yang bukan lagi didalam zon bebas cukai, tetapi peniaga disitu melonggokkan barang di lantai dengan harga lebih murah dari kawasan tumpuan pelancong. Kami tidak tahu. Aktiviti berjalan ini pun dibuat tanpa perancangan yang terlampau terperinci. Seperti yang telah disebut pada awal tadi, jika tak jumpa barang dapat tengok awek pun cukup memadai.  Gadis-gadis disini cukup ayu dan sopan-santun. Terasa seperti ingin membuat tawar-menawar dengan tuan kedai untuk meminang anak-anak perempuan mereka. RM5000 saya ambik dua-dua sekali? setuju? ahahahaha cam haram..

bersambung di part 2.....

Monday, January 24, 2011

Melihat temasya di tempat orang- Mengayuh bersama geng FiXie!!

  Petang sabtu tempoh hari, sepulangnya dari kenduri tahlil dirumah seorang sahabat di andalas, penconteng mengambil peluang melawat rakan-rakan futsal di Restoran Al-Bidayah Andalas. Mereka datang ke restoran itu dengan mengayuh basikal yang seakan-akan basikal  racing dan kelihatan juga seakan-akan  body(bahasa sebenar ialah frame)  basikal tua.  Dari situ, minat mengetahui keseronokan mereka yang gila mengayuh fixie mula mengusik jiwa penconteng.
Mountain bike yang dipinjam dari en. Nikman
   Kebetulan mereka akan mengayuh pada malam hari itu, penconteng menyatakan hasrat untuk mengikuti mereka dalam aktiviti hujung minggu mereka untuk merasai sendiri keseronokan mengayuh basikal fixie. Nikman, seorang pengayuh fixie yang tegar bersetuju untuk meminjamkan kepada penconteng sebuah basikal, walaupun ianya sebuah mountain bike namun penconteng merasakan ianya lebih dari mencukupi. Nikman juga telah meminjamkan kepada penconteng sebuah gadjet kamera khas yang dikenali sebagai Sony Bloggie. Sila google untuk mengetahui lebih lanjut mengenai  gadjet ini.
  Seorang antropologi yang berdedikasi akan hidup bersama dengan sesuatu etnik untuk mengetahui cara kehidupan mereka. Penconteng walaupun bukan seorang pengkaji tetapi telah lama hidup sebagai  seorang yang curiga tentang banyak perkara akan cuba belajar mengenai kegilaan  Fixie ini dengan cara berkayuh bersama mereka, hisap rokok bersama mereka, lepak dengan mereka, dan menghabiskan malam minggu dengan mengikuti aktiviti mereka .  
  APA ITU FIXIE!!! Ciri-ciri utama (pandangan peribadi untuk mereka yang tiada asas mengayuh)
"el-presidento".  Presiden Joe dan fixie nya.
-sebuah basikal yang menggunakan frame (body)   mountain yang ringan/nipis
 (seakan racing)
- tiada brek!!! Tiada gear!!
- prewel mati. Death pedal.
-seat post (batang tempat duduk) ditinggikan supaya kaki mendapat kayuhan penuh.
-warna basikal mencucuk mata anda (fixie merupakan intrepetasi pengayuhnya, jadi warna basikal ini akan mengikuti jiwa mereka. Walaupun kombinasi warna kadang-kadang agak mengarut, itu adalah seni mereka jadi setiap pengayuh mempunyai hak mutlak mewarnakan basikal dan seluruh geng akan menghormati pilihannya). frame vintage akan mengekalkan warna asal (rare pulak).
-fixed!! Diperbaik pulih. Padat. Mantap. Senang. Dalam bahasa mudah, ”no nonsense”  bike.
 
   Penconteng mempunyai pengalaman sendiri dalam aktiviti mengayuh  dan sudah beberapa kali mengikuti kumpulan lain dalam aktiviti berkayuh sederhana jauh. Jadi penconteng akan cuba menulis dalam cara menunjukkan perbezaan mengayuh bersama geng fixie dari mengayuh bersama geng bmx dan mountain bikers.
   11.30 mlm – Kami berada di hadapan Real Futsal Arena untuk menunggu  ahli-ahli konvoi yang lain sampai. Persamaan dalam semua  kumpulan mengayuh yang pernah penconteng ikuti ialah aktiviti kayuhan akan berlaku lewat daripada masa yang ditetapkan. =) Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana dalam aktiviti konvoi berbasikal, semangat sepasukan sangat tinggi akan dibina. Jadi mereka akan tetap menunggu ahli mereka sampai walaupun setelah menunggu beberapa ketika.  Dalam pada menunggu inilah mereka mengambil kesempatan untuk bersalaman dan melakukan pemeriksaan terhadap basikal masing-masing untuk mengelakkan kerosakan berlaku.
  Pengayuh basikal fixie banyak mengisi masa menunggu ini dengan memanaskan badan dan meregangkan otot kaki. Berbeza dari kumpulan bmx mereka akan menggunakan setiap masa terluang dengan melompat divider (pembahagi jalan) dan melakukan freestyle atau trick flatland. Kawan-kawan mountainbikers pula selalunya akan memeriksa gear dan system suspension dengan membuat pecutan ringan dan menghentak-hentakan tayar hadapan.

Muda dan laju

  Ahli-ahli yang lebih muda sangat menghormati abang-abang yang lain, dan mereka menerima kehadiran penconteng dengan sangat terbuka. Pujian dan penghargaan  ikhlas diberikan kepada mereka. Diharapkan mereka dapat meneruskan budaya menghormati ini. They respect me once, I respect them twice. RESPECT!
16 basikal fixie berbagai-bagai warna telah siap terkumpul. Dan kami bergerak ke tempat pengumpulan kedua.

   12.05 mlm- sedang menunggu beberapa lagi ahli di Esso (simpang tiga yayasan Selangor dpn JPA). Pada saat ini penconteng dapat rasakan malam ini akan berlaku perjuangan dengan diri sendiri, setiap 5 kayuhan penuh penconteng telah dikalahkan dengan 3 kayuhan penuh ahli Fixie. Anda darabkan dengan 10, 50 kayuhan penconteng telah ditinggalkan dengan selamba oleh ahli fixie dengan 30 kayuhan (berdasarkan logik) . Dan mereka seperti tidak merasa berlaku kayuhan .
Satu demi satu rakan-rakan fixie yang lain datang dan berkumpul, kini mereka telah Berjaya mengumpulkan 25 biji basikal. Selepas bersalaman dan mengisi bekalan air isotonik (Gatorade beb budak-budak ni minum), hehe  siap sedia untuk meneruskan perkayuhan ke DATARAN SHAH ALAM"bawah". 

12.20 pg- Kami berhenti sebentar di tepi jalan menghala ke bukit raja (berdekatan hotel presscot klang), berlaku kerosakan kecil kepada salah satu daripada basikal fixie. Rantai putus ketika pecutan dilakukan apabila masuk ke jalan utama.
Technician utama kami en. Ejie melakukan pemeriksaan
Kemeriahan warna menggamit suasana.


kereta-kereta membunyikan hon tanda "lu orang cool la brader"

   Pada saat ini, penconteng sudah dapat menangkap sedikit sebanyak keseronokan mereka. Fixie merupakan basikal yang menggunakan konsep “death pedal”, Setiap henjutan kayuhan yang mereka lakukan akan memberi tujahan, dan pedal mereka akan terus mengayuh walaupun mereka tidak melakukan henjutan. Berdasarkan konsep keabadian momentum (spm fizik gua dpt 7, balun je janji nampak poyo.wahahaha) , ia merupakan seperti anda berkayak, dayungan pertama yang agak berat akan memberi tujahan dan dayungan kedua akan terasa ringan tetapi kelajuan tetap sama dan seterusnya.  Keunikan sistem death pedal ini ialah, walaupun anda tidak mahu mengayuh, momentum tadi akan menggerakkan pedal dan automotik kaki anda akan meneruskan kayuhan (secara paksa).Hingga ke tahap  kayuhan mereka tidak membawa basikal, tetapi basikal itu sendiri yang akan memusingkan kaki mereka mengayuh.  Jadi kaki pengayuh fixie akan terus berkayuh di seluruh perjalanan ke shah alam nanti tanpa rehat (no kidding!).

1.00pagi- Sampai ke Esso shah alam s7, kepenatan mula dirasai. Geng fixie mengambil peluang mengepam tayar yang pancit, membeli air isotonic di kedai On The RUN esso dan menunggu ahli konvoi yang tercicir (ya, saya yang tercicir. Hahaha).

Penconteng sedang tulis kat nokia note apps "kimak, laju sial budak2 ni"
 Mengayuh bersama geng fixie merupakan pengalaman berharga, kerana mereka mengayuh dalam kelajuan sekata sepanjang perjalanan (10-20 km/h). Jadi penconteng mencuba sebaik mungkin untuk mengikuti dari belakang dan mengelakkan dari ketinggalan terlampau jauh. Sehingga ke tahap kelajuan yang penconteng  rasakan tiada lagi tekanan pada kayuhan (kayuh kosong) namun mereka seperti boleh pergi lagi laju. Tenaga yang digunakan untuk mengejar mereka sangat banyak sehingga terasa kelaparan yang amat sangat. Kaki masih belum kejang, namun tenaga yang digunakan untuk ke tahap ini sangat banyak. Mereka masih Nampak bertenaga dan dapat meneruskan perjalanan.
1.09 pagi – Hentian bukit  . Pendakian bukit di pangsapuri baiduri merupakan pengalaman perit yang tidak dapat dilupakan , beberapa tahun lepas penconteng pernah mendaki bukit ini bersama geng bmx (old school clan stdm kota raja) dan kami mengayuh dalam kelajuan yang sangat perlahan dan beramai-ramai. Berbeza dengan geng fixie mereka akan mengayuh dengan sepenuh kelajuan sebelum bukit dan meneruskan kayuhan hingga ke atas (ingat konsep death pedal tadi?). Mountain bike yang dikayuh penconteng mempunyai sistem gear, jadi dapat mengurangkan tekanan kepada otot peha . Tetapi lebih kayuhan memerlukan lebih tenaga. Pada saat ini badan terasa seperti baru lepas berjogging 3 km tanpa henti. Dan tercicir sangat jauh dibelakang. Tekanan pada mental sangat dirasai apabila mendaki bersendirian, melihat bukit yang seperti tiada puncak dan tiada siapa dihadapan. Syukur sampai ke bustop di hadapan pangsapuri baiduri dengan selamat dan melihat geng fixie menunggu dengan penuh sabar.
  Di hentian ini mereka akan merehatkan sebentar kaki mereka kerana apabila turun dari bukit nanti, kaki mereka akan mengayuh dengan pusingan yang sangat laju. Berbeza dengan basikal biasa, kita dapat merehatkan kaki ketika turun dari bukit, dan mempunyai brek untuk mengawal kelajuan. Mereka bergantung sepenuhnya kepada skil individu untuk memperlahankan basikal. Mereka perlu menahan pusingan pedal tadi dengan tenaga kaki, dan gerakan “maneuver” untuk mengelakkan basikal berhenti mengejut.  Kelajuan ketika turun bukit, 35 km/j (masih perlahan, kata mereka).

Motor marshal yang selalu mengiringi mereka yang tercicir (ya! aku yg tercicir)
  1.20 – Sampai ke destinasi yang dituju. Dataran shah alam"bawah"  memang dikenali sebagai tempat perkumpulan kelab-kelab kereta, motor lama, vespa, scooter dan macam -macam lagi. Tapi sejurus selepas kumpulan basikal ini memasuki kawasan itu, tumpuan orang ramai jelas menghala kepada mereka. Terdengar suara-suara yang menjerit "bro, lawa basikal!" "perghh.. smart siot beskal budak2 ni" dan macam-macam lagi. Sekurang-kurangnya hilang sedikit penat mereka yang baru lepas berkayuh dari klang mendengar sambutan hangat dari penduduk shah alam.

smart basikal ni. Fixie ke? ntah..
error 87- Tuan rumah blog, en. Shahmi dan en. Haziq

Pameran tanpa permit

Antara pengunjung yang berminat melihat pameran fixie

  Geng fixie membiarkan basikal mereka untuk dijadikan pameran sementara mereka merehatkan badan dan berbual-bual dengan pengunjung yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang basikal fixie ini. El-presidento Joe cukup ramah sehingga sanggup memberikan basikalnya untuk dicuba oleh pengunjung wanita muda pada malam itu.
  Seperti bmx, fixie juga mempunyai pengayuh freestyle mereka. Namun trick mereka yang agak merbahaya menyebabkan hanya segelintir sahaja pengayuh fixie yang boleh melakukan trick freestye ini (setakat ini). *anda boleh search di youtube untuk melihat contoh trick2 mereka. Selepas berehat beberapa ketika, ada antara mereka melakukan aksi freestyle dan wheelie untuk menunjukkan variasi elemen dalam kayuhan fixie selain daripada kelajuan.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
    Penconteng telah kehilangan beberapa note penting dalam kayuhan pulang kerana batteri handphone habis sebelum sempat save note itu. Tapi yang paling penting, kerana terlampau memerah tenaga untuk mengejar geng fixie penconteng hampir pengsan dan terpaksa berhenti untuk minum sebotol air gatorade di 7 eleven bukit raja ditemani en. Nikman. Penconteng mampu mengayuh hingga ke rumah, tetapi bukan dengan mengikut kelajuan mereka. Bisikan putus asa kedengaran untuk membiarkan mereka sampai ke tempat berkumpul bersurai dan berkayuh perlahan sendirian. Tetapi mereka tidak akan membiarkan itu berlaku. Datang beramai, pulang beramai.

  En. Nikman terpaksa menolak penconteng sambil mengayuh fixie nya, kerana dia berpegang kepada prinsip "never let your teammate down, if they have to wait for you, then you are selfish!". (terjemahan- "jangan kecewakan rakan sepasukan, kalau mereka kena tunggu kau, kau pentingkan diri sendiri!") . Sungguh dramatik kata-kata yang keluar dari mulut en. Nikman.

 Jadi kerana tersentak memahami konvoi ini merupakan kerja berpasukan, penconteng melepaskan ego dan membiarkan diri ini ditolak dari belakang oleh En. Nikman. Sehinggalah berjumpa kembali dengan geng fixie yang sebenarnya menunggu tidak jauh dari 7eleven tadi. Mereka bergilir-gilir menolak sekiranya kayuhan basikal penconteng terlampau perlahan. Sehinggalah sampai ke Restoran Al-mubarak smpg. empat. Syukur semuanya selamat.

                            PENUTUP.
 Penconteng merasakan aktiviti fixie sesuai untuk semua yang ingin berkayuh jarak jauh dan mengekalkan kelajuan dalam tahap yang agak tinggi. Apa sahaja jenis kayuhan yang anda minati pasti lebih baik dari berzina di hujung minggu, jadi pergilah berkayuh. =)

Ya, saya poser!. semua saya nak join. (dapat rasakan ramai bdk2 yang benci fixie tengah kutuk gua sekarang). hahaha =) Penconteng sekarang pernah mengikuti mereka, pernahkah anda?. Tak kenal maka tak cinta. Jadi dari mengutuk tak tentu hala, apa salahnya kita fahami mereka. Basikal sama dua tayar, hati siapa yang tahu?. 

-saya pernah dimaki "kau buat kerja bodoh je lompat longkang ini dari tadi" ketika bermain bmx di padang sultan sulaiman. Perasaan sakit hati seperti orang menghina benda yang kita sayang, jadi  penconteng tidak akan mengutuk geng fixie. itu minat mereka. Itu cara mereka. Itu gaya mereka. Anda hidup cara anda. adakah penconteng jatuh cinta dengan fixie? mungkin tidak. Seperti mana penconteng mahu orang lain menghormati minat penconteng, sebegitu juga penconteng akan menghormati minat orang lain.
Secara keseluruhannya, "kawan-kawan dia kata dia memang laju, sekarang dah takbleh buat apa dah"-dipetik dari iklan keselamatan jalan raya.

dengan cinta,
amir haliza
-founder of durianmangkau.blogspot.com

  ---------------------------------------------------------------------------------------
penghargaan,
terimakasih kepada
En. Nikman = kerana meminjamkan sebuah mountain bike dan sebuah Sony Bloggie .
Seluruh geng fixie = Membenarkan penconteng mengikuti konvoi mereka dan berkerjasama dalam sesi temubual. Juga kerana sanggup menunggu apabila penconteng tertinggal di belakang.