Thursday, November 11, 2010

dari berbual = Sangat jauh dari tanah.

  Tumit terasa sangat merindui benda buangan yang terbiar tak dipedulikan. Tapak kaki keluh kesah seperti belum pernah merasai keselesaan. Sakit, sangat sejuk memijak lantai setiap kali bangun dari tidur untuk ketandas. Kadang-kadang hati cemburu melihat nenek tua yang sudah mempunyai lebih dari sebelas cicit masih gagah menebas lalang didepan rumah memberi ruang kepada rumpun-rumpun tebu menunjukkan warna meriah hijau, kuning dan ada pula hitam kepada pembelanya. Hina sangat kah elemen kehidupan dipanggil tanah untuk kita hindari sekian lama.

  Sudah sekian lama tapak kaki ini tidak memijak rumput segar dipadang bola, atau memijak pasir pantai yang putih, menahan kesakitan akibat terjun dari pokok, dan sekadar memijak batuan kecil didalam sungai membiarkan air sejuk meredakan semua langkah perjuangan hidup yang seringkali memberi tekanan pada kaki ini.

  Bilakah kali terakhir anda memijak tanah?
 1) bangun tidur memijak mozek mahal berwarna putih jernih dengan hiasan jalur merah seperti belahan batu.
 2) Keluar dari rumah ketempat parkir kereta yang ditar hitam, menunggu tren distesen komuter yang disimen padu dengan konkrit.
 3) Bekerja dibangunan 12 tingkat atau sebuah kilang industri.
 4) Berjalan-jalan di kaki lima atau menghabiskan masa sekadar melihat-lihat gadis berkeliaran di kompleks membeli-belah.
 5) Menghentak-hentak ringan tumit kaki di pelantar besi yang dilapit dengan getah dan gentian plastik didalam kereta sambil mendengar lagu lady gaga di radio.
 6) Mengayuh basikal di lebuhraya seperti seorang atlit, meluncur di skatepark sambil berusaha menyempurnakan "kick flip masuk 50-50 keluar nolie", berpusing-pusing mencari ruang untuk melepaskan bola melalui bawah kelengkang rakan di gelanggang futsal.
 7) Duduk menonton televisyen sambil menunggu waktu masuk tidur.
 
  Terlupa kali terakhir memijak tanah. Yang pasti bulan lepas ada ke rumah seorang makcik untuk mengambil barang-barang mentah dari kebun kecilnya untuk dijadikan produk makanan, dan sangat pasti ketika itu memakai selipar berjenama bata. Paling hampir tapak kaki ini merasai perasaan memijak tanah berkemungkinan sebulan yang sudah. emm.. sebulan.
 
  Bila duduk-duduk termenung sambil mengurut tapak kaki yang sakit, hati dan perasaan mula melayang mengenang saat-saat gembira ketika kanak-kanak apabila setiap petang sebelum senja masing-masing berebut ke pili air mengambil giliran membasuh kaki yang diselubungi dengan pasir, bau lopak air, lumpur dari hujan yang membuatkan padang bola menjadi seperti kolam renang. Walaupun kadang-kadang luka akibat terpijak batu tajam, paku, serpihan kaca, duri pokok semalu dan lain-lain, kaki kanak-kanak itu terus berlari keesokan harinya. Ketika sedang sibuk membasuh kaki, tiba-tiba hujan turun dengan lebat . "wei, jom last!!", beramai-ramai membuat terjunan bebas keatas tanah dan membiarkan badan menggelongsor sejauh yang mungkin. Seakan meraikan sesuatu yang besar seperti menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir. Dari ingin membasuh kaki, kini terpaksa mandi di pili dan menanti masa dimarahi penjaga dirumah apabila mereka sedar ada baju berlumpur terendam didalam besen  di belakang rumah.

  Setiap kali anda ke padang bola, perhatikan rakan-rakan anda ada yang sengaja membiarkan kakinya berehat diatas rumput selepas membuka kasut but berbau kepam. Jika dipantai ada yang menjinjit selipar flip-flop quiksilver dan membiarkan kakinya merasai kehalusan pasir pantai. Perkara seperti ini tidak perlu diajar, ia berlaku tanpa sedar. Yang pasti, kaki anda merindui tanah. Jangan terasa hina jika ada yang melihat anda seperti orang miskin hanya kerana anda duduk diatas selipar dan membiarkan tapak kaki anda merasai tanah ketika anda menunggu tali pancing dimakan umpannya oleh ikan ditasik rekreasi. Layanlah kaki anda dengan baik. Ia rindu dengan tanah. Bawalah ia ketempat yang mulia, kerana ia berhak berada disitu. Dan janganlah melakukan kerosakan ke muka bumi ini.

nota = oi!! bukannya aku suruh korang kaki ayam kemana-mana.. adui. lurus sangat pun tak elok lar kawan.
hahaha. selipar dan kasut itu melindungi kaki dari kotoran dan bahaya serta mengelakkan dari tergelincir. sesekali itu pijaklah tanah tanpa pakai kasut.
cereka dilhamkan dari perbualan dengan seorang adik kepada nelayan yang berkerja di kota.

No comments:

Post a Comment